LANGKAH-LANGKAH MEMAJUKAN INDUSTRI PELANCONGAN KESIHATAN MALAYSIA

Prince Court Medical Centre 
Hospital Pakar Ampang Puteri 
Pusat Perubatan Subang Jaya 
Hospital Mata Tun Hussein Onn 

Begitulah antara hospital terkemuka yang disenaraikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan. Pelancongan kesihatan kini dilihat sebagai satu daripada lubuk emas negara dalam sektor pelancongan. Hal ini adalah demikian kerana sektor pelancongan kesihatan menyumbang kepada pendapatan negara. Menurut Laporan Ekonomi 2009/2010, ketibaan pelancong kesihatan melonjak hampir 10 kali ganda daripada 39 114 orang pada 1998 kepada 374 063 orang pada 2008. Jumlah pendapatan yang dijana daripada peningkatan ini adalah daripada RM 14.1 juta kepada RM 299.1 juta. Oleh sebab sektor ini memberi banyak manfaat kepada semua pihak, pelbagai langkah perlu diambil bagi memajukannya.

Antara langkahnya adalah dengan melalui pihak kerajaan. Sudah terang lagikan bersuluh, pihak kerajaan merupakan pihak yang perlu menyediakan langkah untuk memajukan pelancongan kesihatan. Hal ini adalah demikian kerana pihak kerajaan mempunyai banyak kaitan dengan sektor ini terutamanya daripada
(Gambar hiasan : Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak)
perspektif pendapatan negara. Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak telah mengumumkan lima langkah baru bagi melonjakkan industri pelancongan kesihatan. Pengumuman ini dibuat semasa beliau merasmikan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) di Kuala Lumpur. Lima langkah tersebut ialah pengecualian cukai 100 peratus daripada perbelanjaan modal untuk pembinaan dan pengubahsuaian hospital; Pemberian permit kerja secara automatik kepada isteri atau suami rakyat Malaysia yang mempunyai kelayakan profesional yang diiktiraf dalam bidang perubatan mengikut Klasifikasi Perjawatan Malaysia (Masco); Kementerian Kesihatan, Majlis Perubatan Malaysia dan Persatuan Hospital Swasta perlu menyemak semula garis panduan dan peraturan pengiklanan kesihatan; Pemberian insentif kepada mana-mana hospital swasta yang menubuhkan Unit Pesakit Antarabangsa dan; Pemberian potongan cukai berganda ke atas perbelanjaan yang ditanggung hospital berkenaan bagi mendapatkan pensijilan akreditasi antarabangsa. Semua langkah di atas diumumkan supaya industri pelancongan kesihatan negara dapat berkembang dengan lebih baik dan menjadi peneraju utama bagi industri pelancongan kesihatan di rantau Asia Tenggara. Secara tidak langsung, industri pelancongan kesihatan menjadi semakin maju.

Selain itu, urusan ketibaan, penginapan dan kepulangan pelancong asing (kesihatan) hendaklah dipermudah. Hal ini adalah bertujuan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelancong. Setakat ini, beberapa kemudahan untuk para pelancong kesihatan telah dilaksanakan. Antaranya ialah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) telah mengeluarkan permit kepada kenderaan hospital untuk menjalankan urusan penghantaran pesakit dan pengiring dari lapangan terbang, pelabuhan dan hotel ke hospital. Pesakit asing yang memasuki Malaysia bagi mendapatkan rawatan kecemasan menggunakan visa semasa ketibaan (VOT) pula dibenarkan menukar status VOT kepada lawatan sosial berdasarkan cadangan pihak hospital. Tambahan pula, kelulusan bagi melanjutkan tempoh tinggal di Malaysia atas tujuan mendapatkan rawatan juga dipercepat. Semua kemudahan ini akan membuat para pelancong beranggapan bahawa perkhidmatan pelancongan kesihatan di Malaysia adalah yang terbaik, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terbaik. Secara tidak langsung, industri pelancongan kesihatan menjadi bertambah maju.

“Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu berusaha mengubahnya sendiri.” 
(Surah Ar-Raad, ayat 11) 

Ayat al-Quran di atas menerangkan bahawa jika kita hendak melakukan sesuatu, kita hendaklah melakukannya sendiri sebagaimana peribahasa Melayu : hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Sehubungan itu, pihak hospital tidak hanya mengharapkan bantuan orang lain tetapi hendaklah berusaha sendiri. Pihak hospital hendaklah berusaha memajukan industri pelancongan kesihatan memandangkan mereka adalah subjek utama dalam hal ini. Mereka hendaklah berusaha untuk memenuhi semua kriteria yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membolehkan sesebuah hospital dipilih sebagai
(Gambar hiasan : Datuk Seri Liow Tiong Lai)
pelancongan kesihatan. Kriteria-kriterianya ialah menjadi ahli Persatuan Hospital Swasta (APHM); Menjadi ahli Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH); Mengikut ketetapan ISO dan ketetapan antarabangsa; Menawarkan kepakaran dalam bidang perubatan; Mempunyai sekurang-kurangnya 50 buah katil untuk para pesakit dan; Mempunyai laman web sendiri. Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, pihak Kementerian Kesihatan sedang mengenal pasti 35 buah hospital swasta yang berpotensi untuk dipromosikan dalam industri pelancongan kesihatan dengan syarat sesebuah hospital itu memenuhi kriteria di atas. Oleh itu, pihak hospital sama ada kerajaan ataupun swasta hendaklah berusaha untuk memenuhi kriteria-kriteria tersebut supaya akhirnya mereka dapat memajukan industri pelancongan kesihatan negara.

Selain itu, pihak hospital hendaklah berusaha untuk mendapatkan anugerah dan pengiktirafan terutamanya daripada pihak antarabangsa. Anugerah dan pengiktirafan sebegini amat penting bagi hospital-hospital di negara ini. Hal ini adalah demikian kerana pengiktirafan ini dapat menunjukkan kualiti sesebuah hospital itu.
Antara pengiktirafan yang popular ialah Akreditasi Kesihatan Antarabangsa daripada Joint Commission International (JCI). JCI ialah sebuah institusi yang bertapak di Amerika Syarikat dan pengiktirafan JCI
(Gambar hiasan : JCI)
sentiasa menjadi penanda aras kepada tahap kualiti klinikal terhadap pesakit tempatan dan asing. Setakat ini, tiga hospital swasta dan satu institut kerajaan telah menerima Akreditasi Kesihatan Antarabangsa daripada JCI iaitu Institut Jantung Negara, Hospital Adventist Pulau Pinang, Pusat Perubatan Prince Court dan Pusat Perubatan Sime Darby. Pengiktirafan ini sangat penting kerana pengiktirafan ini menunjukkan bahawa hospital di negara ini berkualiti dan mempunyai perkhidmatan kelas pertama yang menjadi daya tarikan terutamanya para pelancong kesihatan. Secara tidak langsung, anugerah dan pengiktirafan sedemikian memberi sumbangan kepada industri pelancongan kesihatan negara.



Konklusinya, terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil untuk memajukan industri pelancongan kesihatan negara. Oleh itu, semua pihak hendaklah bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi merealisasikan matlamat kita bersama iaitu untuk menjadikan Malaysia sebagai antara hub pelancongan perubatan bertaraf dunia. Pihak-pihak seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelancongan juga hendaklah bekerjasama dengan pihak hospital kerajaan dan swasta bagi mencapai matlamat ini. Kita perlu sedar bahawa empayar Rom yang megah dahulu tidak terbina dalam masa satu hari. Namun begitu, kita tidak boleh berputus asa kerana Maher Zain iaitu seorang artis terkenal ada menyatakan bahawa kita janganlah berputus asa dalam hidup menerusi lagunya, Insya-Allah versi Bahasa Melayu:

 “Janganlah berputus asa, 
Kerana Allah bersamamu, 
Insya-Allah,insya-Allah, 
Insya-Allah ada jalannya.”

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

CARA MENGHARGAI WARGA TUA

“...dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.”
(Surah An-Nisa’ : 36)

Begitulah ayat al-Quran yang menyeru umat Islam supaya berbuat baik kepada manusia. Warga tua juga tidak terkecuali daripada ayat ini. Maksudnya,kita hendaklah berbuat baik kepada warga tua. Hal ini adalah demikian kerana mereka lebih banyak menabur bakti kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan negara. Mereka juga lebih banyak memakan asam dan garam berbanding kita. Oleh sebab itu, kita semua perlulah mengemukakan beberapa tindakan untuk menghargai warga istimewa ini.

Sudah terang lagikan bersuluh, duit merupakan suatu aset yang wajib dimiliki oleh semua orang. Oleh sebab itu, sebagai menghargai warga tua, pihak kerajaan bolehlah memberi bantuan dan sumbangan berbentuk kewangan kepada mereka. Hal ini adalah demikian kerana tidak semestinya semua golongan emas ini mampu menyara keluarga dengan duit pencen mereka. Jadi mereka memerlukan sokongan kewangan daripada luar. Contoh bantuan kerajaan kepada warga tua dalam bentuk kewangan ialah bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) sebanyak RM 300 sebulan kepada warga tua yang tidak berkemampuan dari sudut kewangan. Selain itu, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM 500 ada ditawarkan khas untuk warga tua. Secara tidak langsung, sokongan kewangan ini dapat meringankan beban mereka disamping sebagai suatu penghargaan kepada mereka.

Selain itu, kita juga boleh menghargai warga tua dengan cara meraikan mereka. Jika kita melihat kegembiraan seseorang itu menyambut hari lahirnya, begitulah juga apabila kita meraikan warga tua. Contoh sambutan warga tua yang umum kita ketahui ialah Sambutan Hari Warga Tua (SAHAWAT). Sambutan ini telah diperuntukkan dalam perlembagaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui resolusi No. 45/100 yang telah menetapkan tarikh 1 Oktober sebagai hari sambutan ini. SAHAWAT telah disambut oleh negara Malaysia sejak tahun 1992 sebagai satu tanda apresiasi kepada warga emas ini. Melalui sambutan-sambutan sebegini, mereka sudah tentu berasa gembira dan dihargai oleh masyarakat. Secara tidak langsung, sambutan ini menjadi satu cara untuk menghargai warga tua.

Media juga berperanan untuk menghargai warga tua, sama ada media cetak mahupun media elektronik. Media massa sentiasa memainkan peranan sebagai alat untuk menyampaikan propaganda yang efektif sama ada yang baik ataupun yang buruk. Oleh itu, kita hendaklah menggunakan kelebihan yang ada pada media massa untuk menyampaikan mesej menghargai warga tua. Drama-drama dan filem-filem yang ditayangkan hendaklah memasukkan unsur menghormati orang tua ke dalamnya. Contohnya, dalam filem KL Gangster, walaupun wataknya utamanya,Malik (lakonan Aaron Aziz) ialah seorang ahli gangster, dia tetap sayang akan ibunya dan sentiasa berusaha membantunya. Secara tidak langsung, para penonton yang menonton filem ini dapat belajar untuk menghormati orang tua walau sesiapapun mereka. Para penonton juga secara tidak langsung akan menghargai warga tua ini.

Cara lain untuk kita menghormati warga tua adalah dengan membentangkan dan melaksanakan dasar-dasar yang bermanfaat buat warga tua. Dasar-dasar yang digubal untuk warga tua hendaklah mempunyai peruntukan yang memberikan manfaat bukan untuk warga tua semata-mata tetapi untuk semua lapisan masyarakat. Contoh dasar warga tua yang sedia ada di negara kita ialah Dasar Warga Tua Negara (DAWARTUN). Dasar-dasar yang ada di dalam DAWARTUN ialah mewujudkan negara tua yang sejahtera, bermaruah, dan bermartabat diri yang tinggi; mengoptimumkan potensi diri; memastikan mereka menikmati semua peluang dan; mendapat penjagaan serta perlindungan ahli keluarga, masyarakat dan negara. Penggubalan dasar-dasar seperti ini adalah perlu. Hal ini adalah demikian kerana dasar-dasar ini menunjukkan bahawa warga tua sangat berguna untuk semua lapisan masyarakat. Penggubalan dasar untuk warga tua juga secara tidak langsung menunjukkan warga tua dihargai.

Konklusinya, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan oleh pelbagai pihak untuk menghargai warga tua. Oleh itu, semua pihak hendaklah mengerah keringat dan bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menghargai warga tua. Hal ini adalah demikian kerana warga tua telah banyak berjasa kepada generasi yang lebih muda seperti kita. Walaupun pelaksanaannya tidak semudah bicara, kita tidak boleh berputus asa kerana artis terkenal iaitu Maher Zain ada menyatakan melalui lagunya, Insya-Allah :

“Janganlah berputus asa, 
Kerana Allah bersamamu, 
Insya-Allah, insya-Allah, 
Insya-Allah ada jalannya.”

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS